**AKAN DATANG 2018!! : DRAMA TI AMO SWEETHEART 100 HARI! LAKONAN ZUL ARIFFIN DAN NEELOFA**
&
**KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU LAKONAN ALIF SATAR DAN NANA**

Friday 2 February 2018

PANAHAN CINTA MR. AGORAFOBIA [BAB 1 & BAB 2]



BAB 1


THALIA AYSARA


Ya Allah..hampir-hampir aku terlelap tadi! Fuh..nasib baik dia tak perasan. Kalau tak, bertambah benganglah si harimau bintang ni dengan aku. Memang itulah gelaran yang aku dan Didee berikan kepada pensyarah ini gara-gara kegarangannya. Kenapa kitorang gelar dia harimau bintang dan bukan harimau kumbang atau harimau bengal? Hah, tu sebab dia memang suka sangat pakai jaket yang bercorak harimau bintang apabila menunggang motosikal berkuasa tinggi datang ke kampus. Ergh apa-apa je lah. Mengantuknya. Sudahlah bilik ni berpenghawa dingin. Kalau dapat bantal, sedap tidur ni.

"Thalia Aysara!"

Mata yang baru hendak tertutup kubuka dengan seluas-luasnya bersama jantung yang berdegup laju. Cemas mendengar suara Dr. Aliff Azri yang bergema kuat itu.

"Ye..ye, Dr. Aliff!" Kelam-kabut aku bersuara. Nasib baik tak sempat terlelap. Hilang sesaat rasa mengantuk yang menguasai diri.

"Sempat lagi kamu mengelamunkan? Sah kamu tak fokus terhadap soalan saya tadi!" Bidasnya dengan geram. Mata yang sangat layu dan sembab cuba kufokuskan ke arah pensyarah berumur 28 tahun di hadapanku ini. 

Astaghfirullahalazim. Mati aku!

"Asyik-asyik lewat! What's your problem, Thalia?? Party sampai ke pagi? Sebab tu kamu selalu lewat kan?!" Pekik Dr. Aliff. Nasib baik aku tak terjatuh dari kerusi.Tergamam betul aku apabila harimau ni mengaum. Tangan kanan kuangkat ke sisi bahu kananku.

"Sumpah, saya tak berparty sampai pagi, doktor." Jawabku dengan jujur. Laju-laju aku menggeleng.

Apa? Party? Dalam mimpi laa. Nak makan pun takde masa, nak tidur pun bertangguh-tangguh, inikan pula nak berparty. Lawak apakah ini?

"Habis tu??" Jerkahnya tidak puas hati.
Tersentak bahuku gara-gara terkejut. Aku jeling sekilas wajah Dr. Aliff. Nyata, berkerut seribu mukanya cuba mencari jawapan.

"Bukan sekali kamu datang lewat ke kelas semester ni dan bukan kelas saya sahaja yang kamu selalu lewat! Pensyarah lain juga complain tentang kamu."

Dia mendiamkan diri seketika. Aku pula sudah mula canggung. Ala..tak payahlah pandang-pandang macam nak makan orang!

"Apa masalah kamu Thalia?" Soalnya penuh prihatin. Ada kekenduran di dalam nada suara itu. Anak matanya berlari ke serata wajahku dengan penuh tanda tanya. Mungkin cuba mencari jawapan agaknya.

"Maafkan saya." Ucapku perlahan sambil memandang kosong ke arah fail yang berada di atas ribaan.

"Bukan itu yang saya nak dengar! Yang saya nak tahu sekarang, bagaimana  seorang pelajar yang cemerlang di awalnya merosot teruk dua semester kebelakangan ini?! Why Thalia? Why??" Soalnya bertubi-tubi. Riak tidak puas hati terpampang jelas di wajahnya.

Aku hanya mampu merenung kosong ke arah buku-buku tebal milik Dr. Aliff yang tersusun tinggi di atas meja.
Jawapannya doktor, bukan semua orang bernasib baik dilahirkan dalam keluarga kaya raya seperti doktor. Tapi jawapan itu hanya bergema di dalam hati sahaja.
Nafas kutarik dalam-dalam. Malas hendak jaja cerita peribadi. Selagi mampu aku tidak mahu menagih simpati sesiapa dengan kisah aku. Makin tidak puas hati jadinya pensyarah muda ini denganku. Apa lagi, Dr. Aliff menyambung kembali bebelannya. Anak mata yang kembali berat cuba kufokuskan tepat kewajah lelaki yang segak dengan kemeja biru di badan itu. Sedaya upaya aku cuba untuk menahan mata dari terlelap lagi. Nampaknya, wajah kacak pensyarah yang digilai ramai pelajar di hadapanku ini masih belum mampu membuatkan mata aku segar. Bagai ada 10 tan beban bertapuk di atas kelopak mata kurasakan saat ini.

Ya Allah mengantuknya! Aku menggigit bibir.

 Aduhhh..bilalah dia ni nak habis membebel ha? Aku hanya mahu pulang ke bilik dan tidur. Tadi bersyarah selama dua jam dalam kelas. Sekarang sambung bersyarah kat bilik ni pulak. Tak penat ke dia ni? Aduhh..mata tolonglah jangan terkatup! Kat luar tu hujan. Bestnya kalau dapat tidur ni. Kejap pun jadi laa..! Hmm..enaknya..

"Thalia Aysara!!!"




Bagai halilintar suara itu mengejutkan aku saat ini. Mampu membuatkan aku bangun berdiri terus. Meluncur laju jatuh ke lantai fail yang berada di ribaanku tadi. Dengan kalut aku mengutipnya. Ya Allah, mesti aku terlelap lagi di hadapan dia ni. Matilah! Debaran di dada terus melaju. Dr. Aliff juga turut sama berdiri. Tajam matanya memanah ke mari. Sebelah tangan bercekak pinggang.

"Tidur lagi! Saya tengah bercakap dengan kamu  dan kamu boleh tertidur?! Kalau beginilah kelakuan kamu, tell me, Thalia Aysara, macam mana saya nak lepaskan kamu untuk menjalani latihan praktikal di Al-Hayyan Group??" Bentaknya.

Jelas Dr. Aliff sudah mula hilang sabar. Soalan yang keluar dari mulutnya mampu merenyukkan hati aku namun entah kenapa mulutku terkunci pula saat ini. Tak sukanya apabila dia mengaitkan tentang Al-Hayyan Group.

"Er...saya..saya.." Belum sempat aku bersuara, dia terus menjerkah.

"Saya apa??!"

Terdiam terus aku jadinya. Sebelah tangan meraup wajah. Aku tak kisah dibebel, aku tak kisah dibenci oleh seluruh pensyarah di fakulti ini, aku tak kisah dicaci dan dituduh pelajar  yang suka berparty dan tidak bermoral. Pergi jahanam dengan pandangan orang terhadap aku tapi, aku sangat cemas apabila Dr. Aliff mahu menghalang aku untuk buat latihan praktikal di Al-Hayyan Group.

Ya Allah, itu sahajalah peluang aku untuk mendapatkan duit 
lebih. Sah-sah apabila menjalani latihan praktikal nanti aku tak akan dapat buat kerja part-time di siang hari. Tidak banyak syarikat yang menawarkan elaun yang lumayan kepada pelajar praktikal. Selalunya beberapa ratus je. Yang tak dapat elaun pun ada. Sesungguhnya Al-Hayyan Group sahajalah satu-satunya harapanku. Semua pelajar tahu yang elaun latihan praktikal di syarikat itu adalah antara yang paling tinggi. Lagipun, ayah memang beriya-iya menyuruh aku mohon di situ.

Dr. Aliff meraup rambutnya ke atas sebelum mencerlung tajam wajahku untuk kesekian kalinya.

"Kamu tahu tak yang Al-Hayyan Group tu bukan calang-calang company  dan merupakan pengeluar makanan berbungkus dan rempah ratus yang terkenal di negara kita, setanding dengan ADABI dan Sri Nona? Saya kenal dengan seluruh ahli  keluarga Al-Hayyan tu personally.  Hairan juga bagaimana pelajar corot seperti kamu diterima di sana!" Bebelnya tidak puas hati.

"Alah..praktikal je pun. Siapa je yang beriya nak tengok cgpa bagai. Entah-entah transkrip yang dihantar tu dorang tak belek pun."Tersentak jadinya lelaki di hadapanku ini.
Alamak! Kenapalah mulut aku ni lancang sangat?! Pantas aku menutup mulut dengan sebelah tangan apabila sedar ayat yang terbuku di hati kini tanpa sengaja telah kumuntah keluar. Dia merenung tajam ke arahku dengan pandangan tidak percaya.

"Menjawab!!" Bidasnya geram sambil menggelengkan kepala.

Adussss! Bagaimana boleh terlepas cakap ni?! Kau memang mengundang bala, Thalia Aysara!

"Kalau beginilah sikap kamu Thalia, saya tak dapat benarkan kamu ke sana. Saya tak mahu kamu mencemarkan nama baik fakulti dan universiti dengan sikap kamu tu. Tak cukup dengan  hobi kamu yang suka tidur dalam kelas  dan masalah suka memonteng, mulut tu petah menjawab pulak!" Bidasnya dengan geram.

Aku hanya mampu mendiamkan diri. Ada rasa sebak sudah mula melata di hati. Kalau tidak kerana ayah, memang dah lama aku berhenti belajar. Mahu sahaja aku tangguhkan kursus diploma ini namun ayah bersungguh-sungguh melarang. Nafas kutarik dalam-dalam.


"Dr. Aliff..saya minta maaf. Tolonglah..saya betul-betul berminat nak buat latihan praktikal di Al-Hayyan Group. Saya janji tidak akan lewat ke pejabat dan sentiasa akan menjaga tingkah laku dan nama baik fakulti serta universiti. Saya janji doktor." Rayuku dengan bersungguh-sungguh namun Dr. Aliff mengangkat tangan kanannya tinggi. 

"Cukup Thalia! Cukup! Saya akan berbincang dengan dekan fakulti tentang masalah kamu ini." Putusnya. Lelaki tinggi lampai ini terus mencapai briefcase miliknya.

"Tapi.."
 Baru sahaja aku bersuara dia terus memotong.

"Titik." Ujarnya tegas sebelum melangkah laju ke arah pintu. Aku pula terhegeh-hegeh mengejar langkahnya. Pintu dibukanya dengan kasar.

"Tolonglah Dr...please give me one last chance." Rayuku sambil menahan pintu yang baru sahaja dihempas oleh pensyarah itu dengan tanganku. Kaki terus mengejar langkahnya yang sedang menuju ke arah tangga.

"Apa jaminan yang kamu tak akan lewat ke  tempat praktikal nanti? Apa jaminan yang kamu tidak akan ponteng?" Soalnya bertalu-talu sambil menuruni anak tangga.

"Doktor boleh datang intip saya setiap hari di pejabat." Jawabku tanpa berfikir panjang.

"Kamu ingat saya takde kerja lain?" Dengan wajah yang sangat tegang dia menoleh sekilas ke arahku.

 Kakinya semakin laju menuruni anak tangga. Dengan kain baju kurung yang sempit aku juga turut sama melajukan langkah.

"Okay. Dr. boleh telefon dan bertanya kepada boss saya nanti." Aku bersuara lagi apabila sampai di ruang paling bawah bangunan 3 tingkat yang menempatkan bilik-bilik pensyarah ini. Belum sempat lelaki ini memberikan respons, ada suara lain yang mengganggu perbincangan kami.

"Dr. Aliff Azri."

Langkah kaki aku dan Dr. Aliff sama-sama terhenti saat ini. Terus aku menoleh ke belakang. Keras kejung aku jadinya apabila melihat lelaki yang sedang berdiri tegak itu. 

FALEEQ AL-HAYYAN


Dia?

Baru semalam Didee stalk dia ni di Instagram. Betul ke aku tak salah orang ni? Tudung bawal terus kubetulkan. Bakal majikan ni. Kena laa tunjuk rupa yang semenggah sikit. Namun dia langsung tidak memandang ke mari walaupun sesaat.

"Heyyy! Look who's here...Tuan Faleeq Al-Hayyan! What brought you here, bro?" Riang suara Dr. Aliff bergema di ruangan ini. 

Aik, berubah terus moodnya 360 darjah! Anak mata kembali kuhalakan ke arah pemuda segak di hadapan sana.  Oh, benarlah dia adalah Faleeq Al-Hayyan?

Betullah yang pensyarah aku tu memang mengenali keluarga Al-Hayyan. Patutlah beriya-iya Dr. Aliff tidak mahu aku buat praktikal di Al-Hayyan Group. Takut air muka dia jatuh agaknya dengan menghantar pelajar seperti aku.

 Dr. Aliff kulihat terus mendapatkan rakannya itu. Aku pula diam tak berkutik. Dah tu, takkanlah aku nak ikut sama pulak? Hanya pandangan mata sahaja mengejar langkah Dr. Aliff yang sedang berdiri bersebelahan dengan CEO Al-Hayyan Group di hadapan sana.

Anak mata masih menganalisa rupa paras lelaki yang dikenali bukan sahaja di kalangan rakan perniagaannya tetapi juga di kalangan gadis-gadis Malaysia kerana status dan rupa parasnya. Salah seorangnya adalah Didee! Didee yang banyak bercerita tentang lelaki ini. Siap follow di instagram lagi. Teringat kata gadis itu yang kacaknya lelaki campuran arab dan melayu  ini mampu buat gadis-gadis pengsan.

Eleh..tak pengsan pun! Aku mencebik.

Orang kaya semuanya sama. Rasa diri tu superior dari orang lain. Rasa diri tu bagus dari orang yang biasa-biasa macam aku ni.

Gelak ketawa Dr. Aliff mematikan renunganku pada CEO muda itu. Ha, boleh pun si harimau bintang ni tersenyum manis macam tu. Kalau selalu, monyok nak mati wajahnya dalam kelas. Macam nak makan orang!
Tapi siapa je yang nak senyum kat pelajar yang bermasalah macam aku, kan? Diam-diam aku menarik nafas dalam-dalam. Perlahan aku memalingkan tubuh membelakangi kelibat dua lelaki yang berjaya dan berkarisma itu. Lemah kaki melangkah menjauhi mereka.

"Apa aku nak buat ni?" Soalku pada diri sendiri sambil menggaru kepala yang tak gatal di sebalik tudung bawal berwarna kelabu. Alah..nantilah fikir tentang hal ni. Lagipun, bukannya esok aku kena buat latihan praktikal.
Dulu ayah pernah cakap, kalau rasa ujian sebesar kapal, yakinlah nikmat Allah itu sebesar lautan. Allah tidak akan sesekali menganiaya hambaNya.

Thalia Aysara, Allah uji sekadar yang termampu untuk kau tanggung.  Bukan untuk melemahkan tetapi untuk menguatkan iman di dada. Aku cuba mengingatkan diri sendiri.

 Rindunya dengan ayah di kampung. Bila terkenangkan lelaki itu, aku jadi sayu. Dada diasak rasa sebak. Berat mata menadah air jernih yang sudah mula bertakung.
Bunyi mesej yang sedikit kuat membuatkan aku tersentak seketika. Ah, entah-entah mesej dari Tira. Pantas aku mengeluarkan telefon bimbit dari dalam poket. Sejak ayah sakit, setiap kali telefon berdering, setiap kali itulah aku dilanda cemas. Bukan apa, takut ada khabar buruk singgah di telinga.

Anak mata kukecilkan saat ini. Bait-bait ayat yang tertera di atas skrin mampu membuatkan aku tergamam.  Tak..bukan perkhabaran tentang ayah yang aku terima namun cukup buruk untuk membuatkan fail di tangan jatuh. Lembik longlai terasa kaki saat ini. Apalah malang sangat nasib aku hari ini?
***
BAB 2

Anak mata kuliarkan ke seluruh kawasan lorong belakang rumah kedai dua tingkat yang ditinggalkan ini.  Sunyi. Hanya sekali sekala terdengar bunyi kereta yang lalu-lalang. Di dalam hati cuma mampu berdoa agar Allah selamatkan aku dari segala malapetaka dan rancangan jahat manusia. Ada sebak berombak di dada bersama rasa bimbang yang semakin menjadi-jadi. Seakan sesuatu yang buruk akan berlaku. Taklah, Thalia, Abang Joe tidak sejahat itu. Aku cuba menyedapkan hati namun rasa takut semakin kuat pula menyerbu.

Air jernih yang memberatkan mata aku seka dengan hujung jari. Takkan lah hanya kerana aku bayar kurang RM500 bulan ni,  lelaki yang berusia 40-an itu berang? Boleh sahaja dia mesej atau datang ke asrama seperti selalu untuk meminta bakinya.

Demi Allah aku gelisah. Kalau Abang Joe tidak mengugut untuk mengganggu ayah dan Tira, pasti aku tak akan sebodoh ini untuk mengikut arahannya ke mari.

"What a perfect storm!" Gumamku bersama rasa pilu dan gundah.

Belum pun selesai masalah aku dengan Dr. Aliff, aku perlu pula berdepan dengan Abang Joe. Bersama rasa risau yang melampau, aku langut merenung langit. Pada siapa dapat aku mohon pertolongan Ya Allah? Hanya padaMu. Aku benar-benar berserah saat ini. Anak mata kupejam untuk seketika sebelum membukanya semula.
Sampai bila Abang Joe akan mengganggu aku begini? Sampai bila aku terpaksa berdepan dengan ugutan lelaki bermata keranjang itu? This is too much for me Ya Allah. Anak mata meliar lagi ke arah semak tebal di seberang jalan. Janganlah ada anjing liar atau babi hutan yang keluar dari situ.

"Apa khabar, cik adik?"

Ternyata suara itu mampu membuatkan peluh sejuk merintik di dahi. Pantas aku menoleh ke belakang bersama rasa terkejut yang masih bersisa. Bulat sepasang mata itu merenung aku. Entah dari mana dia datang. Tiba-tiba sahaja wajah bengis ini muncul.

"A..abang Joe.." Tergagap-gagap aku menyebut sepotong nama itu. Aku melihat ke belakang. Tidak ada sesiapa. Dia datang seorang.
Lelaki botak di hadapanku ini sedang tersenyum dengan sangat mencurigakan. Menampakkan  gigi kapaknya yang berwarna emas.

"Kenapa nampak pucat je ni?" Soalnya sinis sambil cuba mengelus pipi aku.
 Pantas aku melarikan wajah.Detak jantung semakin laju gara-gara sedikit cemas.

"Tak..tak lah. Ma..mana ada." Ucapku  yang menjauhi lelaki berkulit sawo matang ini.

Abang Joe ketawa berdekah-dekah seperti orang gila. Menusuk tajam suaranya ke saluran telinga. Memang pelik kelakuannya kali ini. Anak matanya liar berlari dari hujung tudung aku sehingga ke hujung jari kaki. Pantas aku mengundur ke belakang tanda tidak selesa diperhatikan begitu. Dasar lelaki berhidung belang. Dasar lelaki tak cukup dengan dua orang isteri!

"Thalia Aysara.." Kepala digelengnya sedikit bersama senyuman sinis.

"Aku kesian tengok kau ni. Muda-muda lagi dah kena kerja teruk. Siang malam cari duit nak bayar hutang. Kalau kau ikut cakap, kan mudahhh urusanmu, sayanggg!" Lontarnya sinis sambil menggelengkan kepala.
Aku faham sangat apa maksudnya tu. Peluhku semakin hebat memercik lebat apabila dia mendekati aku. Air liur yang terasa pahit aku telan juga. Pantas aku menggeleng.

"Tak..takpe Abang Joe. Saya boleh bayar hutang tu." Terketar-ketar tubuh menahan rasa takut tetapi aku masih cuba berlagak selamba.

"Masalahnya, bulan ni kau bayar RM1000 je. Mana lagi RM500??" Tiba-tiba dia membentak dengan sangat kuat membuatkan aku tergamam. Peluh yang tadi merintik di dahi dapat kurasa mengalir ke wajah. Wajah bengis Abang joe memang menakutkan.

"Maaf Abang Joe. Saya memang tak cukup duit bulan ni..saya janji saya akan bayar penuh bulan depan." Rayuku dengan bersungguh-sungguh. Nyata kata-kataku mengundang marah Abang Joe. Jari telunjuk diacukan tepat ke muka aku.

"Kau jangan main-main dengan aku, Thalia. Kalau tak boleh bayar balik, baik kau cakap siang-siang!" Bentaknya. Terjungkit bahuku gara-gara terkejut.

"Lagipun, aku dah lama tunggu kau. Kau kahwin sahaja dengan aku. Habis cerita. Apa yang susah sangat?" Kali ini nada suaranya seperti ingin memujuk pula.
Hampir hendak tercabut nyawa apabila lelaki berbadan besar ini menyebut tentang kahwin. Mampu membuatkan hatiku semakin cemas. Lekas-lekas aku bersuara seraya menjauhi lelaki ini.

"A..abang..saya perlu ke tempat kerja malam nanti. Saya 
pergi dulu ya. Saya janji akan bayar penuh bulan depan. Saya janji. Saya balik dulu ya, Abang Joe. Assalamualaikum." Setelah berkata begitu aku terus melangkah dengan kaki yang menggeletar teruk namun baru dua tapak, terasa lenganku direntap kuat. Sakitnya urat terasa seperti hendak putus.

"Auch.." Aku mengerang seraya berpaling ke belakang. Aku cuba lepaskan genggamannya namun tidak berjaya. Semakin berdebar aku jadinya.

"Hey..ke mana kau nak pergi hmm?? Aku belum habis cakap lagi dengan kau." Herdiknya kasar.

Air mata sudah mula bertakung penuh. Aku terus melihat sekeliling kawasan ni. Sunyi. Hanya beberapa projek terbengkalai sahaja yang wujud berserta rumah kedai yang masih kosong. Ya Allah selamatkan aku. Mana mungkin kudrat aku dapat melawan lelaki yang berbadan besar ini. Aku memandang ke arah Abang Joe dengan mata yang berair. Memohon seribu pengertian.

"Le..lepaslah..tolong Abang Joe. Saya janji saya tak akan bayar kurang lagi. Saya bukan sengaja tetapi saya betul-betul tak cukup duit bulan ni kerana terpaksa bayar kos ubat ayah." Rayuku dengan bersungguh-sungguh. Sedaya upaya aku cuba untuk melepaskan diri namun tidak berjaya.

"Kau dengar sini. Aku dah tolong bapak kau. Tanpa duit aku bapak kau dah mampus agaknya! Kalau kau ikut cakap aku dari awal dulu kan senang? Sekarang aku mahukan kau. Hutang kau langsai!" Jerkahnya dengan kemarahan yang membara. Pantas aku menggelengkan kepala. 
Kata-kata lelaki bangsat ini benar-benar membuatkan aku hilang sabar. Di dalam rasa takut yang menggunung aku menarik tanganku dengan sekuat-kuatnya dari cengkaman Abang Joe.

"Tolonglah faham. Saya akan selesaikan hutang-hutang itu. Tolonglah jangan buat saya macam ni." Rayuku menagih simpati. Aku lihat Abang Joe mengusap janggutnya yang sejemput itu.

"Aku ajak kau kahwin elok-elok kau tak mahu? Sekarang aku akan dapatkan kau cara lain." Bersungguh-sungguh dia berkata begitu menyebabkan aku tergamam teruk. Mati aku! Tanpa berlengah kaki terus berlari menjauhi Abang Joe. Kedengaran dia menempik di belakang sana.

"Hoi! Aku belum selesai urusan dengan kau lagi!"
Sudah aku agak dia ada niat tak baik denganku. Termengah-mengah jadinya diriku saat ini. Dia juga turut sama mengejar langkahku di belakang sana. Patutlah dari awal aku tak sedap hati.

"Kau nak lari ke mana Thalia? " Bentaknya. Berdekah-dekat si gila di belakang sana itu ketawa membuatkan nafas aku terasa semakin pendek.

Tercungap-cungap aku mencuri nafas sambil tangan kanan kelam-kabut mengeluarkan pepper spray dari dalam kocek baju kemeja.Memang setiap kali jika keluar seorang diri aku akan bawak benda alah ini. Sesekali aku berpaling ke belakang. Seperti yang aku sangka Abang Joe betul-betul berada di belakangku. Rasa seperti mau tercabut nyawa  apabila terasa lengan kiriku direntap seseorang. Terus sahaja botol berisi lada di tangan aku acukan dengan terketar-ketar ke wajah lelaki ini.

"Abang Joe jangan rapat. Kalau tak saya spray. Ada lada dan cili api dalam ni. Saya tidak main-main!" Jeritku di dalam nafas yang tercungap teruk.

Nyata kata-kataku mampu membuat lelaki ini melepaskan genggaman tangannya dari lenganku. Dadaku berombak-ombak menahan ketakutan. Tapi tanpa aku duga  dia menepis botol yang berada di tangan kananku dengan kuat sehingga jatuh ke bawah. Tersentap jantungku saat ini. Aku hanya mampu menelan liur melihat botol yang bergelimpang di atas kaki lima bangunan 2 tingkat ini.  Terus aku mengundur beberapa tapak ke belakang. Ya Allah, apa aku nak buat ni??

"Thalia..Thalia.." Ucapnya di dalam gelak ketawa yang makin menggila. Nafsu memang sudah membutakan akal lelaki ini.
Mengingatkan yang aku bakal menjadi mangsa rogol, aku terus memecut sekuat hati bersama air mata yang deras mengalir. Anak mata kufokuskan ke arah bangunan berwarna kuning di hadapan sana. Itu sahaja satu-satunya peluangku untuk menyelamatkan diri.

Kelihatan dawai karat yang sangat tinggi memagari bangunan tersebut namun ada lubang yang luas pada pagar itu.

Mungkin kerja budak nakal yang pernah ceroboh masuk ke situ agaknya. Muatkah tubuhku ini menyelinap masuk? Sehabis daya dan tenaga aku memecut ke arah bangunan tersebut dan Abang Joe juga mengejarku dengan rapat. Aku sudah tak peduli lagi apa yang ada di dalam bangunan itu. Yang aku tahu aku mahu masuk ke situ untuk meminta tolong. Sebelah tangan berpaut pada dawai dan aku kemudiannya cuba meloloskan diri melalui lubang yang hanya ngam-ngam sahaja untuk  tubuh 50kg milikku ini.

"Auch!"

Terasa pedih kawasan lengan sebaik sahaja aku berjaya  meloloskan diri melalui lubang pagar yang agak sempit. Luka di lengan kiri tidak kupedulikan. Yang ada hanya rasa syukur sahaja.  

Sempat aku mengerling ke arah Abang Joe yang sedang berusaha untuk masuk tetapi tidak mampu untuk berbuat demikian gara-gara badannya yang besar.

"Kurang ajar!" Jeritnya histeria. Pagar dawai ditendangnya beberapa kali. Merah padam wajahnya bagai dirasuk hantu! Lega hatiku saat ini.

Dia kulihat meliarkan anak mata ke arah lain. Mungkin cuba untuk memasuki kawasan ini dari laluan utama agaknya! Rungsing kembali kepalaku saat ini.

Apa aku nak buat ni? Dalam ketakutan, sayup-sayup aku terdengar suara orang berbual. Tercangak-cangak kepala cuba mencari arah suara tersebut. Aku cuba mengikut gerak hati untuk masuk ke dalam bangunan dan meminta tolong. Apabila terpandang ke arah pintu besi yang tertutup renggang, aku berlari ke situ.  Pintu kutolak dengan perasaan yang bercampur-baur dan kini aku melangkah masuk ke dalam bangunan dengan perasaan cuak yang menggunung.
Gelap!

Banyaknya kotak kat dalam ni. Aku mengosok hidung. Bau sos tomato menerjah masuk ke dalam rongga pernafasanku namun belum mampu membuatkan aku tenang. Owh, patutlah..semua kotak-kotak ini penuh dengan sos! Anak mata meliar ke arah beberapa mesin besar yang terdapat di sebelah kanan sana.

Aku mengecilkan anak mata memerhati sekitar kawasan dalam bangunan yang kelihatan seperti kilang ini. Anak mata tercari-cari kelibat manusia tetapi gagal. Tidak ada walau seorang pun.  Kaki melangkah dengan berhati-hati menuju ke bahagian hadapan kilang apabila terdengar dengan jelas suara orang berbual di luar sana.

Benar, ada seorang lelaki yang memakai kemeja dari rona kuning air dan bertali leher putih sedang berada di luar sana. Betul-betul di hadapan pintu utama kilang yang terbuka luas. Di tangannya ada beberapa keping kertas dan fail.

Niat di hati ingin keluar dan meminta tolong tetapi hajatku terhenti apabila ternampak kelibat si bedebah itu! Abang joe tiba-tiba sahaja muncul dan kelihatannya sedang berbual dengan lelaki tersebut. Terus sahaja aku mencangkung dan bersembunyi di sebalik kotak yang sangat besar.

"Betul..saya nampak ada budak menceroboh masuk dalam kilang ini tadi. Ikut pintu belakang. Nampak macam pencuri."

Bersama degupan jantung yang tidak mahu surut, aku mengetap gigi dengan geram. Dia cakap aku pencuri? Kurang ajar!

"Hah, biar betul!"Aku lihat lelaki yang segak dengan baju kerja di badan itu terus menoleh ke mari dengan cemas. Pantas aku menyembunyikan diri kembali di sebalik kotak.

"Okay, kami akan check. Terima kasih kerana maklumkan kepada kami." Ada nada terkejut di dalam nada suara lelaki itu. Aku masih memasang telinga. Kepala aku gelengkan. Sekarang, bukan masa yang sesuai untuk aku keluar.

"Jom encik. Biar saya tolong encik periksa sama."
Kepala aku picit kasar apabila mendengar kata-kata Abang Joe itu. Peluh yang mengalir aku seka dengan hujung tudung. Mulalah aku jadi tidak tentu arah.  Betul-betul seperti cacing yang kepanasan keadaan aku saat ini.

"Tidak mengapa, encik. Encik kena faham kawasan ini adalah kawasan larangan. Kami tak dapat benarkan Encik berlama-lama di sini. Orang luar tidak boleh masuk ke sini." Nada suara lelaki itu menjadi sedikit tegas. Demi Allah, ayat yang baru aku dengari tadi mampu membuatkan hati aku lega.

"Eh pergi mampuslah! Kita sekadar nak tolong, diusirnya pulak kita dari sini." Suara jerkahan milik Abang Joe yang kurang ajar itu benar-benar membuatkan aku terkedu untuk kesekian kalinya. Harap-haraplah lelaki itu berambus dari sini cepat-cepat.

"Adib..apa bising-bising tu?"

Kedengaran suara lelaki lain pula menyoal lelaki yang bernama Adib itu.  

"Orang tu bagitahu tadi yang dia nampak ada budak masuk ke dalam kilang ni. Katanya budak tu nampak seperti pencuri." Beritahu Adib. Aku menarik nafas dalam-dalam. Rasa syukur kerana dapat lari dari Abang Joe telah diganti dengan perasaan risau dan gelisah. 

"Seriously Adib? Maybe orang ni ada kena mengena dengan kes kecurian minggu lepas. Let's get inside!" Ada nada kaget dapat dikesan dalam nada suara tersebut.

Mendengar sahaja kata-kata lelaki itu, aku jadi gelabah.Wajah kuraupkan dengan sebelah tangan. Peluh yang baru sahaja ingin kering kini merintik semula. Dari posisi mencangkung aku terus bangun.

Bagaimana jika mereka berdua ini juga adalah lelaki berhidung belang, sama seperti Abang Joe? Untuk terus berada di dalam bangunan ini bukanlah satu keputusan yang bijak. Apa-apa pun boleh berlaku di dalam ni. Lantas, sebelum mereka mencari aku di sini, biar aku sahaja ke luar sana untuk bertemu mereka. Akan aku ceritakan kenapa aku tumpang bersembunyi di sini. 
Makin kuat pula jantungku berpalu. Nafas aku tarik dalam-dalam. Buat apa nak takut, Thalia? Kau bukannya buat jenayah pun!
Bersama rasa cemas, aku terus berlari keluar dari bangunan ini. Masalahnya, bukan  dua lelaki di hadapanku ini sahaja yang tergamam merenung ke arahku tetapi aku juga turut sama terkedu.

Faleeq Al-Hayyan?

Tapi, belum sempat aku bersuara, kepala terasa berat. Longgar terasa lutut. Aku cuba mengimbangi badan sebelum terjatuh. Akhirnya rebah juga tubuhku menghempap bumi. Seluruh isi dunia bertukar hitam dalam pandangan mata yang semakin kuyu.
***


BERSAMBUNG :)
Assalamualaikum semua :) Bertemu lagi dalam karya ketujuh..oh ya, tajuk ni adalah tajuk sementara..mungkin akan bertukar nanti :) terima kasih kerana masih sudi membaca karya Suri. Semua komen-komen boleh diberikan di facebook group: Bila Suri Ryana Menaip  :)

Jumpa lagi di bab 3 :)